1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: “Wahai
anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu
kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan
penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu. (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar
adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang
menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia
berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.: “Barang
siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala
kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari
arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar
tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat
hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.: “dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah
Banyak
ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang.Ini rezeki
yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “(iaitu)
orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati
Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
5.Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam
hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang
ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada
ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga
bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.”
(Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani,al-Asybahani dan al-Hakim) Mendoakan
ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi
s.a.w.: “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat
baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan
meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga
isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.: “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.: “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada
hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak
tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan,
dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua
hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya
kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan
jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula
boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit
rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut
Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik
selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11 . Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang
Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai
beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda
s.a.w. bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai
Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang
dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya.
Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah
membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah
menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad- Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada
keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki,
menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya
dimakbulkan Allah
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan
solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia
(aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam
hadis qudsi: “Wahai
anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat
pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan
keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: “Demi
sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku
kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku
amat keras.” (Ibrahim: 7). Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir
dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan,
menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk
keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi
kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya,
dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara
konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi
sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama
Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab
dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah
ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa
menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan
mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah
suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa
berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih
dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan
yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang
dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim). Bagi
orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa
kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang
dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam
rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan
halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik,
hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3) Nabi s.a.w. bersabda: “Seandainya
kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu
diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan
petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at- Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.”
(At-Talaq: 2-3) Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam
ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa.
Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah
limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan
pemberian-Nya.